KEM GENERASI AL-QURAN

KEM GENERASI AL-QURAN

Salam Maal Hijrah 1434H

Salam Maal Hijrah 1434H

Monday, April 22, 2013

ADAKAH DOSA DAN PAHALA DALAM MENGUNDI PILIHANRAYA


Jawapan: Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Kepada Dr Mohd Asri, apabila menjelang pilihanraya, pelbagai pandangan akan dikeluarkan oleh macam-macam pihak. Ada yang kaitkan isu-isu agama dengan proses membuang undi. Soalan saya, sejauh manakah soal dosa dan pahala dalam mengundi ini. Apakah seseorang itu boleh dikira berdosa atau dapat pahala kerana mengundi parti tertentu? Harap Dr Asri tolong huraikan.

Zamani, Johor.

JAWAPAN PROF MADYA DR MOHD ASRI BIN ZAINUL ABIDIN:

Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Sebagai seorang muslim kita wajar prihatin terhadap perkara-perkara yang seperti ini. Apatahlagi, persoalan seperti undian dalam pilihanraya yang walaupun kelihatan sangat ringkas prosesnya, tetapi mempunyai kesan yang besar terhadap pembentukan sesebuah negara. Sekalipun kadang-kala ada perkara dalam sistem pilihanraya itu tidak memenuhi kehendak syarak, namun kepentingannya terhadap masa depan sesebuah negara itu tidak dapat dinafikan. Bahkan, jika diperhatikan sistem demokrasi jauh lebih baik dari segala sistem lain yang sedang diamalkan oleh kerajaan-kerajaan di dunia hari ini.

Melalui demokrasi, rakyat dapat bersuara dan memilih orang yang mereka redha sebagai pemimpin. Pemimpin pula tidak begitu berani melakukan kezaliman dan penyelewengan disebabkan mereka tahu rakyat mempunyai hak dalam menentukan kedudukan mereka. Ini lebih baik dari sistem autocracy. Bahkan demokrasi yang adil akan lebih baik dari pentadbiran sesetengah para pemerintah dalam sejarah umat Islam pada zaman Umawiyyah, ‘Abbasiyyah dan selain mereka yang bersifat kuku besi dan bertindak tanpa menghormati hak rakyat. Untuk menjawab persoalan saudara tentang dosa dan pahala undian dalam pilihanraya, maka saya sebut perkara-perkara berikut;

1. Pada asasnya dalam Islam, setiap amalan kebaikan atau yang membawa kebaikan maka pengamalnya memperolehi pahala. Begitu juga, setiap amalan buruk atau yang membawa keburukan maka pengamalnya memperolehi dosa. Besar atau kecil pahala dan dosa itu, bergantung kepada besar atau kecil kesan kebaikan atau keburukan sesuatu amalan. Maka, mengundi dalam pilihanraya boleh membawa kesan baik dan buruk kepada sesebuah masyarakat dan negara. Jika kesannya baik dan pengundi itu pula memang inginkan kebaikan tersebut, maka itu adalah amalan soleh. Jika kesan buruk dan pengundi tersebut memang inginkan kesan yang buruk itu, atau boleh menjangkanya, atau dia tidak peduli dengan buruk atau baik kesan undiannya itu, maka dia memperolehi dosa.

2. Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:
“Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah”. (Riwayat Malik dan al-Tirmizi).

Kata tokoh ulama salaf yang besar Sufyan bin ‘Uyainah (meninggal 198H)

“Hadis ini bermaksud kalimah di hadapan pemerintah, kalimat yang pertama (yang direhai Allah) ialah yang menghalang kezalimannya. Kalimat yang kedua (yang dimurkai Allah) ialah yang mendorong pemerintah melakukan kezaliman” (Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwadhi, 7/21, Beirut: Dar al-Fikr).
Ya, berdasarkan hadis ini, sekalipun pengucapnya tidak menyangka sebegitu besar kesan ucapannya, atau menganggapnya kecil, namun disebabkan kesan baik dan buruk dari ucapannya itu, maka dia mungkin mendapat pahala, ataupun dosa. Hal ini samalah seperti undian dalam pilihanraya.

3. Maka undi juga bagaikan satu kalimat, bahkan mungkin lebih, yang mana ia boleh memberikan kuasa kepada seorang pemimpin yang baik atau kuasa untuk pemimpin yang jahat atau zalim atau tidak bertanggungjawab. Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w menyebut:
“Adakalanya seorang hamba Allah mengucapkan satu kalimah yang menyebabkan dia tergelincir ke dalam Neraka yang jaraknya dalamnya antara timur dan barat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kalimat itu konteks demokrasi adalah undi dalam pilihanraya. Seseorang hendaklah berfikir kesan undi yang diberikan kepada seseorang calon terhadap negara dan rakyat.

4. Kita hendaklah sedar bahawa undian itu membawa maksud bersetuju memberikan mandat kepada seseorang bagi sesuatu kepimpinan. Maka, sebelum mandat tersebut hendak diberikan, wajib kita memastikan samada dia berkelayakan atau tidak. Ini kerana Allah berfirman: (maksudnya)
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).
Memberikan undi kepada yang tidak berkelayakan adalah mengkhianati amanah.

5. Untuk menentukan kelayakan seseorang itu, maka secara umumnya hendaklah dilihat kepada dua ciri yang penting yang disebut oleh al-Quran al-Qawiy (kuat atau mampu) dan al-Amin (amanah atau bertakwa). Firman Allah: (maksudnya)
“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26).

Dua ciri ini hendaklah dilihat dalam kerangka jawatan yang hendak diberikan. Jika jawatan itu membabitkan kewangan umpamanya, maka kemampuan dalam pengurusan kewangan dan digabungkan dengan nilai amanah dalam diri calon yang dilantik. Begitulah juga jawatan dalam bidang-bidang yang lain. Maka dilihat kemampuan calon dalam tanggungjawab yang hendak diberikan dan nilai amanah dalam dirinya.

6. Kata Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah:
“Hendak dipastikan orang yang terbaik baik setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah (kekuatan/kemampuan) dan al-Amanah…Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam berbagai jenis peperangan…al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia (sehingga mengabaikan Allah-pent.)”. (m/s 26. Kuwait: Dar al-Arqam)

7. Ertinya, sebelum seseorang itu mengundi, dia hendaklah memastikan individu yang diundi itu berkemampuan melaksanakan tanggungjawab bagi jawatan tersebut dan mempunyai nilai amanah dalam diri yang tinggi. Jika tidak, bererti dia memberikan undinya kepada orang yang zalim yang akan mengkhianati tanggungjawab. Apatahlagi, jika calon itu memang sudah ada rekod buruk dalam tanggungjawabnya. Juga, hendaklah dipastikan kesan undi itu tidak membawa keburukan kepada negara secara umumnya. Allah berfirman: (maksudnya)
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang membuat zalim nanti kamu akan disambar oleh api neraka sedangkan kamu tiada sebarang penolong pun selain dari Allah. kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Surah Hud: 113)

8. Maka, kita tidak boleh mengundi seseorang calon hanya kerana hubungan keluarga, atau sahabat atau parti. Sebaliknya, hendaklah atas kelayakan dan kesan undian itu. Justeru itu Nabi s.a.w tidak memberikan jawatan kepada Abu Zar kerana beliau tidak berkemampuan. Sekalipun Abu Zar seorang sahabat baginda yang soleh dan disayangi oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda:
“Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).

9. Maka, undi dalam pilihanraya itu bukan sesuatu yang tiada nilai di sisi Islam. Sebaliknya, undi itu boleh menyebabkan seseorang mendapat pahala, ataupun mungkin mendapat dosa. Undilah yang berkelayakan dan memberikan kesan yang baik kepada negara dan rakyat.

Wednesday, November 14, 2012

Salam Akhir Tahun 1433H

Bismillahirrahmanirahim..

Alhamdulillah, hari ini merupakan hari terakhir kita berada dalam tahun Hijrah 1433. Esok 1 Muharram 1434H, bertambah lah satu tahun hijrah lagi, menandakan pertambahan usia kita juga. Semakin bertambah usia, semakin dekatlah kita pada ajal. Jadi sudahkan bertambah amalan kita sebagai bekalan di akhirat sana?

Inshallah, dalam bulan Disember ini Nisa' Perlis telah merencanakan untuk menjemput Ustazah Norhafizah Musa, personaliti dan penceramah yang kerapkali muncul di kaca tv. Program BUAL BICARA KELUARGA BAHAGIA diadakan pada 16 Disember 2012 hari Ahad, bertempat di Dewan Perbadanan Perpustakaan Negeri Perlis, Kangar bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang.

Yuran dikenakan adalah RM50 seorang. Andai pendaftaran dibuat secara berpasangan (suami dan isteri) hanya RM85 sahaja.

Selain jemputan kita Ustazah Norhafizah Musa, turut berforum pada program tersebut adalah Imam Masjid Syed Alwi, Kangar, Ustaz Muhammad Zahid.

Tempat duduk adalah terhad, dan untuk mendaftar:
sms ke nombor <0134044962>

Anda boleh membuat pembayaran secara online atau pembayaran terus ke pejabat Urusan Nisa' Perlis beralamat di :
NISA' EDUCARE CENTRE,
NO. 6, JALAN SRI GUAR,
TAMAN SRI GUAR, 01000
KANGAR, PERLIS.

Sebagai penutup bagi entry kali ini, kami di Nisa' Perlis sekali lagi mengucapkan Selamat menyambut Awal Muharram.

Doa Akhir Tahun & Awal Tahun
jangan lupe bace tau :)









Monday, October 29, 2012

Tabarruj


Abul A’la al Maududi berkata, “Jika kalimat tabarruj dipergunakan kepada kaum wanita, ia bermakna :

(i) wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (yang bukan mahramnya);

(ii) wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki asing; dan memperlihatkan dirinya, make-upnya, gerak-gerinya dan kemegahannya. Selain memastikan pakaiannya tidak nipis, jarang, longgar, tidak memakai perhiasan yang menarik perhatian lelaki ajnabi, tidak menyerupai pakaian lelaki atau orang kafir/musyrik, pakaiannya yang bukan melambangkan kemegahan, dia juga tidak boleh tampil dengan haruman semerbak. "Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina” [hadis dari Abu Musa al-Asy’ari].


Friday, August 3, 2012

KISAH KELEBIHAN SOLAT SUBUH DAN ASAR DI AWAL WAKTU.



Malaikat berganti-ganti menjaga manusia pada siang dan malam. Malaikat yang menjaga manusia pada siang hari akan datang pada manusia di waktu subuh dan akan pulang pada waktu asar,manakala malaikat yang menjaga manusia pada malam hari akan datang pada manusia di waktu asar dan akan pulang pada waktu subuh. (Beganti-ganti)

Diceritakan oleh Imam 
Bukhari dan Imam Muslim sanadnya daripada Abu Hurairah, bahawannya Rasulullah SAW bersabda : "Sentiasa berganti-ganti Malaikat yang menjaga kamu, antara Malaikat yang bertugas siang, mereka bertemu (berkumpul) di waktu solat subuh dan solat asar, kemudian naiklah Malaikat yang bertugas malam menjaga kamu itu, lalu Allah bertanya kepada mereka (malaikat), sedangkan Allah lebih mengatahui tentang keadaan hamba-hambaNya itu, FirmanNya : "Bagaimana keadaan hambaKu?" Mereka menjawab : Kami tinggalkan mereka ketika mereka sembahyang (mengabdikan diri menyembahMu) dan kami datangi mereka ketika mereka mengerjakan sembahyang (mengabdikan diri menyembahMu)".

Sangat bertuah dan mendapat keuntungan yang sangat besar bagi mereka yang dijumpai Malaikat dalam keadaan sembahyang, dan ditinggalkan Malaikat dalam keadaan sembahyang pula, sehingga Malaikat melaporkan keadaan hamba-hamba Allah ketika Malaikat menghadap kepada Allah dengan laporan yang baik.

Oleh kerana itu agama sangat menganjurkan pada ummatnya untuk menjaga solat di awal waktu dan dengan berjemaah di mana azan diazankan, terutama sekali solat subuh dan solat asar yang disebut oleh Allah dalam Al-Quran dengan solatulwusta, pada ketika itulah pengantian Malaikat, antara Malaikat penjaga malan dan penjaga siang. Berbahagia bagi mereka yang dapat menjaga solatnya di awal waktu.

Sumber : http://ahmadraje.blogspot.com/2012/01/kelebihan-solat-subuh-asar-di-awal.html

Tuesday, July 24, 2012

11 Amalan Terbaik sepanjang Ramadhan



1. Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata:
“Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?” Ia menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)

2. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka
Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata:
“Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru masak) sebelum solat. Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah kering). Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu Daud dan At-Turmudzi)

3. Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.
Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”

4. Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda:
“Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)

5. Bersiwak atau menggosok gigi.
Amir bin Rabi’ah berkata:
“Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa. Kerana seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.” (HR Bukhari)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.” (HR Bukhari)

6. Bermurah hati dan banyak menderma.
Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya:
“Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)

7. Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.
(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)
Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.

8. Memberi makan untuk berbuka puasa.
Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)

9. Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
“Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)

10. Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan
Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata:
“Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)

11. Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.
Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata:
“Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata:
“Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan kebiasaan Beliau itu.” (HR Bukhari & Muslim)
Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam di atas. Janganlah dilepaskan peluang untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha kita untuk bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas.
Selain dari sunnah yang telah dinyatakan di atas, jangan lupa dan meremehkan lain-lain sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam seperti senyum, beri salam, solat jamaah di masjid, berbuat baik kepada ahli keluarga dan jiran, beri tadzkirah, merendah diri dan lain-lain.

sumber :  http://myibrah.com/11-amalan-terbaik-sepanjang-ramadhan

Share It